Surat untuk Jiwa yang Letih

Surat untuk Jiwa yang Letih

Kepada Sang Hati,

Yang mula kepenatan apabila kita memasuki separuh kedua Ramadhan. Mungkin kamu tidak sempat membuat persiapan seperti yang diharapkan, menginginkan bulan ini menjadi titik perubahan bagi dirimu yang dirasakan semakin lesu.

Yang mendapati Ramadhan ini sekadar bulan yang berlalu tanpa sebarang lonjakan emosi, kamu berusaha keras untuk merasai kehangatan rohani yang dinikmati oleh orang lain di sekelilingmu, namun ia tetap terasa jauh dari genggaman.

Wahai hati yang letih, inilah saatnya nafsu mula berbisik di telingamu, mengharapkanmu untuk berputus asa.

Kenapa perlu menambah amalan apabila kamu tidak merasakan apa² kesannya?

Ketahuilah bahawa Allah melihat segala usaha dan perjuanganmu.

Ketahuilah bahawa Allah mengangkat darjat mereka yang ikhlas, walaupun dengan amal sekecil²nya.

Ketahuilah bahawa pintu Allah tidak pernah tertutup, dan selagi kamu terus mengetuk dan merangkak menuju-Nya walaupun sukar, Dia akan menggantikan usahamu itu dengan ganjaran yang tidak dapat dibayangkan.

Syaitan mahu kamu tenggelam dalam keputusasaan. Namun, Tuhanmu mahukan rahmat untukmu. Jangan biarkan nafsu menipumu untuk menyerah. Amalan kecil tetap bermakna walaupun kamu pernah mengimpikan Ramadhan ini akan mengubah dirimu secara besar²an.

Berbicaralah dengan Allah dan luahkan segala kesulitanmu kepada-Nya.

Mungkin nafsumu mula mengisi fikiran — mendorongmu membuang masa dengan perkara yang tidak bermanfaat. "Kenapa tidak tonton sahaja drama bersiri yang baru itu? Bukankah ia tidak memberi kesan besar?"

Ketahuilah bahawa ini adalah helah, satu ilusi untuk menjadikanmu leka dengan keseronokan sementara. Masa adalah nikmat yang sangat berharga.

Sesungguhnya, hakikat bahawa dirimu masih diberikan peluang untuk menyaksikan Ramadhan ini adalah tanda kasih sayang-Nya kepadamu. Manfaatkanlah ia dan jangan biarkan ia berlalu sia².

Wahai jiwa yang letih, Tuhanmu mengetahui segala perjuanganmu dan Dia mengingatkan bahawa Dia sentiasa dekat denganmu.

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku memperkenankan doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku." [ Al-Baqarah: 186 ]

 

Bukanlah suatu kebetulan bahawa al-Quran bermula dan berakhir dengan doa. Tidak kira dalam keadaan apa pun kamu, sama ada kamu merasa layak menerima rahmat-Nya atau tidak, setiap hari yang diberikan kepadamu adalah satu jemputan dari Tuhan untuk berbicara dengan-Nya. Untuk berdiri di hadapan-Nya lima kali sehari, dengan keyakinan bahawa Dia lebih besar daripada segala kesedihan, kebimbangan, kegelisahan dan luka hatimu.

Teruskan berusaha. Teruskan menanam benih yang kelak akan berkembang mekar.

Wahai jiwa yang letih, ketahuilah bahawa Allah bersamamu dalam setiap kesabaran dan ketabahanmu.

"Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan tidak pula Dia membencimu. Dan sesungguhnya akhirat itu lebih baik bagimu daripada dunia ini." [ Ad-Duha: 3-4 ]

 

 

Mungkin saja, Ramadhan ini yang akan menjadi titik kebangkitan dirimu.

Kulit gatal? Dapatkan Nano Perak hari ini — Klik Sini
Kongsikan:
Nano Perak Nadia Nano Perak Nadia Nano Perak Nadia
Home | My Account | Affiliate | Blog
2025 © NanoPerak.Net - Stokis Nano Perak Bani Jawi
keluaran Argen Technology Laboratory 003037866-P