Berdoa adalah satu perkara yang luar biasa kerana kita dapat berhubung secara langsung dengan Allah. Kita sedang berbicara secara peribadi dengan Tuhan yang menciptakan kita, memohon kepada-Nya segala yang diinginkan hati kita. Rasulullah ﷺ mengajarkan bahawa doa adalah amalan yang patut diamalkan dalam kehidupan seharian, bukan sahaja untuk meminta hal² duniawi tetapi juga untuk bersyukur, memuji Allah, dan memohon keampunan. Bahkan, doa itu sendiri adalah satu bentuk ibadah.
1. Mulakan dengan Memuji Allah dan Berselawat ke atas Nabi ﷺ
Sebelum berdoa, mulakan dengan memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Muhammad ﷺ.
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Apabila salah seorang daripada kamu selesai solat dan ingin berdoa, hendaklah dia memulakan dengan memuji dan mengagungkan Tuhannya, kemudian berselawat ke atas Nabi Muhammad ﷺ. Selepas itu, dia boleh memohon apa sahaja yang dia inginkan."
[Hadis Riwayat Tirmizi]
2. Berdoalah dengan Nama² Allah yang Indah (Asmaul Husna)
Ketika berdoa, gunakan nama Allah yang paling sesuai dengan permintaan anda.
Allah berfirman dalam Al-Quran:
"Dan bagi Allah nama² yang paling baik, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut nama² itu, dan tinggalkanlah orang-orang yang menyalahgunakan nama²-Nya. Mereka akan mendapat balasan atas apa yang mereka kerjakan."
[Surah Al-A’raf: 180]
Sebagai contoh:
- Jika berdoa untuk rezeki, gunakan nama Allah Ya Razzaq (Maha Pemberi Rezeki) atau Ya Kareem (Maha Pemurah).
- Jika berdoa untuk jodoh, gunakan Ya Wadud (Maha Pengasih) atau Ya Wali (Maha Pelindung).
- Jika ingin lebih memahami agama, gunakan Ya Alim (Maha Mengetahui).
- Jika ingin memohon jalan keluar atau peluang baru, gunakan Ya Fattah (Maha Membuka).
Jadi, sesuaikan doa anda dengan nama Allah yang berkaitan dengan apa yang dimohon.
3. Berwuduk dan Menghadap Kiblat
Untuk meningkatkan peluang doa dimakbulkan, berdoalah dalam keadaan berwuduk dan menghadap kiblat. Walaupun ia tidak diwajibkan, ia adalah amalan yang digalakkan.
Diriwayatkan oleh Abdullah ibn Zayd bahawa Rasulullah ﷺ keluar ke tempat solat (musalla) untuk solat istisqa’ (memohon hujan). Baginda berdoa, memohon hujan, kemudian menghadap kiblat dan membalikkan selendangnya.
[Hadis Riwayat Al-Bukhari: 6343, Muslim: 894]
4. Berdoa pada Waktu Mustajab
Antara waktu yang paling mustajab untuk doa yang makbul:
- Antara azan dan iqamah
- Ketika hujan turun
- Pada sepertiga malam terakhir (waktu Tahajjud)
- Ketika bermusafir
- Semasa berpuasa dan sebelum berbuka
Abu Umamah (RA) meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ ditanya:
"Pada waktu bilakah doa paling mudah diterima?"
Baginda menjawab:
"Pada sepertiga malam yang terakhir dan selepas solat fardu."
[Hadis Riwayat Tirmizi]
5. Bagaimana Mendapatkan Doa yang Makbul di Bulan Ramadan?
Jawapannya adalah Laylatul Qadr (Malam Al-Qadr).
Rasulullah ﷺ bersabda:
"Carilah Malam Al-Qadr pada malam² ganjil di sepuluh malam terakhir Ramadan."
[Hadis Riwayat Bukhari & Muslim]
Allah berfirman dalam Al-Quran:
"Malam Al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar."
[Surah Al-Qadr: 3-5]
Bayangkan—beribadah pada Laylatul Qadr bersamaan dengan 83 tahun ibadah. Jika anda berdoa pada setiap malam dalam sepuluh malam terakhir Ramadan, kemungkinan besar anda akan mendapat Laylatul Qadr dan doa anda akan dimakbulkan!
Allah adalah As-Sami’ (Maha Mendengar), Dia menunggu anda untuk berdoa kepada-Nya. Jadi, jadikan misi Ramadan ini untuk berdoa sebanyak mungkin, terutamanya dalam sepuluh malam terakhir.
Allah tidak pernah mengatakan ‘tidak’ kepada doa kita. Jawapan-Nya adalah:
- Ya
- Ya, tetapi nanti
- Aku ada sesuatu yang lebih baik untukmu
Oleh itu, percayalah kepada kekuatan doa dan jangan ragu untuk meminta perkara yang besar, kerana kita sedang memohon kepada Raja segala raja, Pencipta langit dan bumi.
6. Yakin dan Percaya Bahawa Doa Akan Dimakbulkan
Walaupun kadang² kita mungkin merasa kecewa apabila doa kita belum dimakbulkan, percaya kepada doa itu sendiri adalah satu bentuk ibadah.
Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih. Dia tidak akan mengabaikan doa hamba-Nya. Kita hanya perlu yakin dan bersangka baik kepada Allah. Jika sukar untuk menyusun kata² dalam doa, mintalah kepada Allah untuk memudahkan anda dalam berdoa.
Doa adalah pengubah kehidupan. Percaya dan yakinlah.
Semoga Allah menerima semua doa kita, mengabulkan impian kita, serta menerima puasa dan amal ibadah kita sepanjang bulan yang mulia ini.
Ameen, Ya Rabb.